Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan
baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa
disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya
Allah akan mencukupkan (keperluannya).
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sungguh,
Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.(At-Talaq: 2-3)
Bukankah sudah dijanjikanNya bahawa orang-orang yang bertakwa itu akan diberikan jalan keluar untuknya. Masih tidak percaya?
Tawakal kepada Allah itu amat manis dan indah rasanya apabila menjadi
manusia yang berserah diri dan membulatkan hati pada Allah. Tawakallah
setelah kita berusaha, kerana keputusan itu milik Allah dan usaha itu
milik kita sebagai hamba.
Hati yang resah gelisah akan
dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan setelah membulatkan perkara ini
kepadaNya. Setelah buntu mencari jalan keluar, berserah pada Allah,
Tuhan Yang Maha Tahu. Akuilah kita sebagai hamba tidak mampu berfikir
sejauh melihat masa hadapan, melihat mana satu jalan penyelesaian yang
terbaik pada sebuah permasalahan di sisi kita yang tidak punya ilmu
padanya. Ibarat sebuah kapal yang berlayar, bila tersesat jauh di
lautan, hilang kompas dan peta di tangan, lihatlah bintang di langit
sebagai penunjuk arah. Semuanya berbalik kepada Allah. Letakkan dahi
separas kaki, pohon padaNya Yang Maha Mengerti dan Mengetahui segala isi
hati.
Bila terlalu cuba memerah keringat, minda berfikir ligat
hingga terbawa-bawa dibisik syaitan dan nafsu, kita harus sentiasa
beringat. Kembali kepadaNya. Sentiasa berbicara denganNya. Dia
sebenarnya merindukan rintihan hamba-hambaNya, mungkin itulah sebab
kenapa kita ditimpakan masalah dalam kehidupan kita.
Sayangnya
Dia pada kita.... Bukankah beruntung wahai diri apabila Pencipta alam
semesta ini sentiasa ingin melihatmu. Sentiasa ingin dirimu berbicara
denganNya. Bukankah Kau manusia istimewa yang terpilih menjadi hamba.
Jadilah hamba Allah. Bukan pada nafsu, bukan pada dunia dan seisinya.
Tawakal kepada Allah bererti membuktikan penyerahan diri kita kepadaNya.
Tawakal itu manis. Tawakal itu indah. Indah hidup bersama Allah,
menjadi Muslim sejati hingga ke hujung nyawa. Hidup untuk Allah, mati
jua untukNya.
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa
kepada kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah
kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat),
seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan)
bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi
orang-orang yang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." (Yunus;
10: 12)
No comments:
Post a Comment